Pada 13 April 2007 melalui Persidangan Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan – Penambahabaikan Urusan Cadangan Pemajuan serta Penyenggaraan dan Pengurusan Hartanah yang telah dilancar dan dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri, inisiatif penubuhan Pusat Setempat (OSC) di setiap PBT bagi mempercepatkan proses permohonan cadangan pemajuan dengan kelulusan dibuat di satu tempat sahaja telah ditetapkan. Lanjutan daripada penetapan tersebut, Unit Pusat Setempat (OSC) telah ditubuhkan pada 1 Jun 2007 untuk membantu dan memantau proses permohonan cadangan pemajuan. Pelaksanaan OSC merupakan inisiatif yang dikenalpasti oleh kerajaan bagi mempercepatkan proses kelulusan sesuatu urusan cadangan pemajuan di PBT.
Inisiatif fungsi Pusat Setempat telah diperluaskan kepada menerima permohonan pembangunan tanah, kebenaran merancang, pelan bangunan, pelan kerja tanah dan pelan jalan dan parit secara serentak supaya dapat diedarkan kepada jabatan teknikal yang berkaitan untuk mendapat ulasan dan pandangan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Menerusi Pusat Setempat, tempoh masa memproses permohonan cadangan pemajuan secara serentak dapat dipendekkan kepada empat hingga enam bulan berbanding dahulu yang memakan masa tiga hingga lima tahun. Pihak Kementerian telah menetapkan tempoh proses permohonan untuk projek terpilih sahaja iaitu projek bina kemudian jual, projek berimpak tinggi, projek pelaburan asing dan projek kerajaan adalah empat bulan sementara norma masa memproses bagi projek lain adalah enam bulan. Ini sekaligus telah meningkatkan sistem penyampaian di peringkat PBT.