Apakah Sistem Perakuan CCC Memberi Perlindungan Kepada Pemilik Atau Pemilik Bangunan?
Dengan pelaksanaan sistem CCC bererti tanggungjawab mengeluarkan perakuan bangunan yang dahulunya dilakukan oleh sektor awam kini berpindah kepada sektor swasta.
Walaupun kuasa mengeluarkan CCC diambilalih oleh para profesional, pihak PBT diberi peranan dan tanggungjawab untuk memastikan wujudnya faktor kawalan dan perseimbangan (check and balance) dalam sistem perakuan baru ini.
Selain mengekalkan kuasa meluluskan permohonan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan, PBT juga boleh membuat pemeriksaan di tapak projek pada bila-bila masa dan di mana-mana peringkat pembinaan bangunan, termasuk selepas bangunan disiapkan.
Pihak PBT juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan PSP atau untuk PBT sendiri mengambil tindakan membetulkan sebarang ketidakpatuhan (non-compliance) kepada peruntukan undang-undang atau syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam proses kelulusan bangunan. Walau bagaimanapun kuasa untuk menetapkan tahap ketidakpatuhan dan kaedah-kaedah pembetulan tidak boleh dilakukan dengan sewenangwenangnya dan hanya terletak pada Mesyuarat Jawatankuasa OSC. Selagi ketidakpatuhan berkenaan tidak diperbetulkan mengikut arahan atau dalam keadaan-keadaan berlakunya sebarang penipuan dalam pembinaan atau dokumentasi berkaitan projek berkenaan, pihak PBT setelah diperakukan Mesyuarat Jawatankuasa OSC boleh mengeluarkan arahan berhenti kerja atau arahan menahan pengeluaran CCC.
Selain itu, pihak PBT boleh mendakwa para profesional dan melaporkan salah laku mereka untuk tindakan disiplin oleh Lembaga Profesional yang berkenaan. Di bawah Akta Arkitek 1967 (Akta 117) dan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138), tindakan disiplin termasuk pembatalan pendaftaran sebagai profesional boleh dikenakan atas salah laku yang membabitkan kemungkiran tanggungjawab atau pelanggaran etika. PBT juga berkuasa memastikan bangunan lebih 5 tingkat dan berusia 10 tahun dari tarikh CCC dikeluarkan, diperiksa tahap keselamatannya setiap 10 tahun.
Selain peranan yang dimainkan oleh PBT, pelaksanaan sistem CCC juga diperketatkan menerusi pengenalan satu sistem kawalan baru. Di bawah sistem ini, setiap pihak, iaitu samada Kontraktor atau Kontraktor Tred dan profesional, yang bertanggungjawab terhadap sesuatu komponen.