Kenapa CCC Diperkenalkan?
Pengenalan CCC adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan melaksanakan pendekatan self-certification dan self-regulation dalam industri pembinaan. la bertunjangkan matlamat mengurangkan karenah birokrasi di samping memudahkan proses dan prosidur di mana pihak-pihak seperti pemaju dan para profesional yang terlibat dalam industri ini berurusan dengan pihak Kerajaan. Secara keseluruhannya, menerusi pelaksanaan sistem CCC, norma masa yang diambil dalam projek pemajuan bangunan akan dapat dikurangkan. Penjimatan masa ini akan membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan oleh pihak pelabur dan pemaju. Ini pula akan seterusnya menyumbang kepada meningkatkan lagi daya saing negara.
Para profesional merupakan pihak yang paling memahami sesuatu projek pemajuan bangunan kerana terlibat secara langsung dalam keseluruhan peringkat pembangunannya. Sebelum CCC diperkenalkan dan di bawah sistem pengeluaran CFO oleh PBT, para profesional juga sememangnya telah diwajibkan secara perundangan untuk memperakukan kelayakan menduduki bangunan. Atas sebab-sebab ini, sewajarnya para profesional diberi kepercayaan dan tanggungjawab mengeluarkan perakuan siap dan pematuhan bagi bangunan yang didirikan.